RINGKASAN...

"malaysianoutdoors.blogspot.com" ADALAH BLOG MAJALAH SECARA ONLINE ATAU DIPANGGIL "E-MAGAZINE " KEUJUDAN MAJALAH ONLINE INI BAGI MEMENUHI KEHENDAK RAMAI PEMINAT SUKAN OUTDOORS TIDAK KIRA SUKAN PEMOTORAN MAHUPUN AKTIVITI PERCUTIAN SEMUA SEKALI KITA AKAN CUBA MASUKAN DALAM MAJALAH ONLINE INI, UNTUK MASA INI PIHAK "malaysianoutdoors" MASIH LAGI DI PERINGKAT PERMULAAN MEMBENTUK SATU BENTUK MAJALAH YANG MENARIK PERHATIAN RAMAI, BAGI FASA YANG KEDUA PULA PIHAK KAMI AKAN MENDAPATKAN ARTIKEL-ARTIKEL DARI SEMUA SAHABAT-SAHABAT "OUTDOOR" UNTUK DIMUATKAN DI DALAM MAJALAH INI . "malaysianoutdoors" HARAPKAN SOKONGAN DARI KORANG SEMUA UNTUK TERUSKAN BLOG NI DAN TOLONG LAH KLIK SEKALI "JOIN THIS SITE" DAN "FOLLOW THIS BLOG" DI RUANGAN KECIL SEBELAH KANAN. TQ

Sunday 12 December 2010

Debaran bersemuka dengan jerung



SALAH seekor jerung kelabu yang ditemui.



PANCARAN matahari yang menembusi permukaan laut membentuk jalur dan spektrum cahaya yang cukup menarik. Pandangan dari bawah air pada kedalaman lima meter itu kemudian pudar sebaik sahaja kami tenggelam jauh ke dasar.
Tiada apa yang dapat diperhatikan di sekeliling kecuali biru air laut yang lama-kelamaan bertukar menjadi semakin gelap. Begitu juga dengan penurunan suhu yang dirasakan cukup drastik. Perasaan sejuk dan sunyi pada selaman itu memberi ketenangan yang tidak pernah dirasai selama ini.
Berbeza dengan lokasi selam yang dipenuhi terumbu karang berwarna-warni, kali ini kami memilih untuk dicampakkan lebih jauh dari tebing pulau dengan matlamat yang berbeza.
Lokasi menyelam pada hari terakhir di Pulau Layang-Layang, Sabah itu adalah Gua Jerung atau dikenali dengan nama Shark Cave yang merupakan satu daripada 13 lokasi selam di terumbu itu.
Matlamat kumpulan kami yang terdiri daripada tujuh orang penyelam dengan iringan Divemaster, Amanda Le Broy pada tengah hari itu adalah menjejak sarang jerung untuk melihat kumpulan ikan pemangsa itu dari dekat.
Dari kedalaman lima meter, kami turun semakin jauh sehingga komputer selam yang dipakai menunjukkan paras 28 meter.
Selaman pada kedalaman seperti itu jarang sekali dilakukan di lokasi-lokasi selam di Semenanjung Malaysia, sekali gus menjadi rekod peribadi penulis yang tidak pernah melepasi kedalaman 30 meter.
Sebagai langkah keselamatan, pandangan mata dikuncikan pada dua perkara iaitu komputer selam untuk mengawasi paras kedalaman dan Amanda untuk menantikan tunjuk arah daripadanya.
Pada masa sama, debaran melakukan deepdive semakin kuat dirasai. Selain cabaran untuk berdepan dengan jerung perkara yang lebih merisaukan adalah risiko terkena serangan penyakit nyahmampatan (DCS).
Secara tiba-tiba tulisan seorang pengkaji jerung bermain di fikiran. Lantas menambah cemas di dada. Menurut penyelam profesional itu, apa sahaja yang manusia fikir pasal jerung adalah tidak benar dan sebarang kemungkinan adalah pasti.
Cukup logik apa yang dikatakan kerana tiada manusia yang dapat menjangka tingkah laku haiwan itu sepenuhnya.
Bagaimanapun, keseronokan tidak akan datang tanpa meletakkan diri selangkah ke situasi berbahaya seperti itu.
Ketika fikiran mula mempertimbangkan keselamatan diri, hati pula bersungguh-sungguh mengharapkan kemunculan sang jerung.
Tidak lama selepas itu, Amanda menarik pandangan mata kami dengan menggunakan jari telunjuk dan jari tengahnya ke suatu sudut lalu memberi isyarat kepada apa yang sedang menunggu kami di dasarnya.
Mata kini tertumpu pada setompok pasir putih yang menjadi tempat rehat sekumpulan jerung. Dari kedalaman 30 meter, saiz jerung-jerung yang dilihat itu semakin lama semakin membesar sehinggalah kami mendarat pada kedalaman paling maksimum iaitu 38 meter.
Ketika itu tidak kurang daripada lima ekor jerung sedang berlegar di sekitar gantungan batu yang berbentuk seperti gua. Di permukaan pasir kelihatan beberapa ekor jerung bersaiz kecil diam kaku seperti tidak menghiraukan kehadiran kami.
Berdepan dengan penghuni laut yang paling ditakuti itu memberikan kami peluang untuk merakam gambar dengan lebih dekat.
Pertembungan paling mencemaskan adalah apabila seekor jerung kelabu sepanjang dua meter setengah melintas lalu kira-kira dua meter dari bahu penulis.
Serentak itu beberapa lagi penyelam mula mendekati untuk berkongsi subjek yang sama. Sebaik sahaja kawasan itu dipenuhi penyelam, seekor demi seekor jerung mula berganjak meninggalkan sarang.
Kami memerhatikan jerung-jerung itu dengan hampa. Untuk mengejar sememangnya sesuatu yang tidak masuk akal, apatah lagi di luar cenuram batu itu adalah jurang sedalam 2,000 meter yang menjadi habitat lebih banyak spesies seperti jerung kelabu, jerung sirip putih dan hitam.
Pemergian jerung itu juga adalah petanda bahawa tempoh mengambil gambar sudah tamat. Apatah lagi merakam objek yang bergerak dalam keadaan cahaya yang nipis bukannya sesuatu yang mudah.
Bahkan pada kedalaman hampir 40 meter itu, kamera yang digunakan sudah menunjukkan tanda-tanda ‘tidak waras’ apabila beberapa butang tidak lagi berfungsi akibat tekanan.
Jerung sering dikaitkan dengan tabiat ganas di dalam filem. Namun, bagi kebanyakan penyelam ia adalah spesies yang unik dan menakjubkan.
Keindahan gerak dan tarinya menjadikan penghuni laut itu antara yang tercantik walaupun tanpa warna seperti ikan-ikan lain.
Selain itu, selaman pada kedalaman setinggi bangunan 10 tingkat itu tidak membenarkan kami untuk kekal lama di dasarnya.
Sepanjang tempoh tidak sampai lima minit di situ, komputer selam sudah beberapa kali memberikan amaran supaya naik ke permukaan.
Itulah sebahagian daripada cabaran selam skuba. Menarik dan penuh dengan debaran. Namun harus diingat bahawa selam skuba tetap memerlukan perancangan yang betul dan pemantauan penyelam pakar.
“Menyelam skuba adalah aktiviti yang selamat. Tapi ia lebih selamat jika kita sentiasa berwaspada di kala kita dalam keadaan yang merbahaya,” ujar Amanda selepas selaman berakhir.

Petikan dari utusan
Oleh ABD. HALIM HADI
halim.hadi@utusan.com.my

No comments:

aDa LaGi Da....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...